kata-kata hikmah..

Pesan Luqman Hakim pada anaknya, Hai anakku, bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun, biarkanlah dia yang mengharap sesuatu darimu

Sabtu, 10 Oktober 2009

mak... [bhgn 1]

Bismillah....
Bertugas di tempat baru, jadual harian telah lebih terurus. Pertama-tama, lebih dekat dengan kediaman. Keduanya, bangunan pejabat akan dikunci kurang dari setengah jam lepas waktu kerja tamat. Semua pekerja termasuk lembaga pengarah akan meninggalkan perkarangan pejabat pada waktu tamat bertugas sebaik jam 5 petang.

Petang semalam, seperti biasa aku memandu pulang ke rumah. Tiada lagi alasan terlalu letih atau terlalu lewat pulang untuk mengemas rumah.. Huhuhu…
Seperti biasa, selepas suami pulang sekitar jam 6:30 petang, kami ke rumah mak. Anak-anak di sianghari di dalam jagaan mak dan adik, Zilah.Tapi, kali ini mak kelihatan sangat luar biasa. Telah beberapa hari mak tak sihat. Demam dan batuk yang tidak surut. Petang semalam mak marah Arif sebab tersalah beli ubat. Mak mengeluh kata Arif sampai hati tinggalkan dia sedang sakit walhal budak tu hanya keluar ambil ubat yang tertinggal di motor saja. Kesian adikku ini, benar katanya padaku, buat apa saja asik kena marah.

Kali ini, mak hanya termenung mengadap kiblat, tidak bergerak hingga masuk lepas waktu maghrib. Kata Zilah, mak tak boleh berbaring sebab asik batuk. Tapi, kali ni dia tak batuk dan tak bergerak. Suara sangat perlahan dan sangat berbeza tidak seperti suara mak yang biasa.

Selepas solat maghrib, aku menoleh ke arah mak. Subhanallah… saat itu aku telah tau kerana dia ada di sana menunggu mak. Kemudian, sewaktu aku duduk di katil mak, mak tanya aku, “Na, ada apa-apa ke kat mak ni?”. .. jawabku, “takda la… tak da apa-apa.. mak rehat je.. mak penat tu.. mak kena banyak rehat je.. mak nak gi hospital?”
Kata mak, dah pergi klinik dengan kakakku petang tadi. Doktor kata tak ada apa-apa. Cuma demam dan batuk. Suami aku tanya kalau perlu hantar mak ke hospital, tapi mak tak nak. Pada aku, mak perlu rehat. Hanya ini saja. Tak sampai hati nak cakap apa yang telah kusaksikan, malahan tentu bersalahan untuk mengatakannya.

Mak bangun dari duduk dan berjalan sangat-sangat-sangat perlahan di depanku. Kutanya nak ke mana, katanya nak solat. Aku bagitau mak aku SMS Aza dan mintak tolong abang Zaman tengokkan mak. Mak memang sangat bergantung pada abang Zaman dalam banyak perkara meskipun dia hanya anak angkat. Baru dua hari lepas kami bawa mak ke rumah abang Zaman.

Kulihat mak membentang sejadah atas timbunan pakaian yang ingin dilipatnya petang tadi. Meletakkan telekong di atas sejadah sebelum memakai secara sangat-sangat perlahan. Berlainan sangat perlakuan mak seolah-olah dia mahu menghayati setiap perbuatannya. Aku tidak lagi sanggup melihat perlakuan mak, terus keluar rumah dan mengajak anak-anak dan suamiku pulang. Hatiku sebak. Fikiran bercelaru. Tika ini hanya zikrullah sangat membantu.

Kebiasaannya mak akan masak untuk semua orang. Cuma beberapa hari ini, mak memasak tetapi tidak mau makannya. Kerana itu pagi tadi suami belikan nasi lemak untuk mak. Nampak sangat berselera dia makan kali ini. Mungkin kerana seminggu ini kami berpuasa bersama dan kurang selera makan selepas habis hari berpuasa. Kerana aku sendiri hilang selera makan juga. Memandangkan tiada makan malam disediakan, kami ke restoran untuk makan malam. Aku bertanya suami dan anak-anakku bagaimana bila nenek telah tiada nanti. Anak-anakku pulak mula tidak mau makan. Masing-masing bermuram dan meragam.

Malah malamnya, semua orang tidak dapat melelapkan mata tanpa sebab. Semua anak-anakku datang berkumpul tidur bersamaku. Aku tetapkan alarm di telefon untuk bangun jam 3 pagi. Meski biasanya aku akan bangun sekitar waktu itu, namun aku bimbang aku tidak dapat melakukannya. Hampir-hampir aku memberitahu mak aku mau solat hajat dan bacakan surah yaasin sebanyak 3 kali malam nanti agar mak tenang dan sejahtera.

Alarm di telefon berbunyi dan malangnya aku tutup terus dan meneruskan tidur yang sangat meletihkan. Tiba-tiba aku terjaga pada jam 3:13 pagi. Aku jadi pilu dan kesal. Mengatakan pada diri mak telah tiada, apa perlu untuk bangun sekarang. Aku sambung tidur atas rasa yang sangat pilu dan terjaga semula bila telefon aku berbunyi lagi jam 5:33pagi. Mendengar suara Zilah menangis dan mengatakan mak tidak bergerak dan kaki tangannya sejuk. Aku minta adikku sabar dan aku janjikan segera datang.
Aku kejutkan suami ku dan kami terus bangunkan anak-anak mandi dan bersiap.
Selepas mandi aku telefon dan SMS semua adik beradik termasuk abang Zaman.
Sewaktu kami tiba, rumah mak telah dipenuhi ramai jiran-jiran. Aku disambut jiran yang mengucapkan kata-kata semangat dan takziah.
Di serambi rumah, depanku terkujur tubuh mak ditutup sepenuhnya dengan kain. Aku tanpa menoleh ke mana-mana, terus menuju bilik Zilah dan baring di katil kerana seluruh anggotaku sangat longlai. Aku bangun lepas beberapa minit dan mengambil surah yaasin dari dalam beg tangan dan mula membaca dengan perlahan.
Selesai membaca, adik dan kakakku masuk membawa anak Zilah yang berusia 1 bulan. Kakakku menangis dan memeluk aku dengan sangat erat. Aku hanya minta dia bersabar. Itu saja mampu aku cakapkan ketika ini. Kata Zilah, selepas solat Isyak, mak terus tidur di katilnya depan bilik Zilah. Tambah Zilah, sekitar jam 2 pagi dia bangun dan tengok mak tidur seperti biasa dan dia selimutkan mak sebelum menyambung tidur. Bakhtiar, adik lelaki kami tidur nyenyak di sebelah mak. Cuma, bila dia bangun lagi sekitar jam 5:15 pagi dia dapati mak tidak bergerak dan kaki tangannya sejuk.

Selepas beberapa waktu, aku rangkul Ahmad Syukri yang kecil dan bercakap-cakap dengannya.
Aku tanya jika aku baca yaasin lagi, maukah dia mendengar. Bayi yang kecil seakan memahami dan berbunyi, aaaaaa… ek..ek..ek… Aku letakkan Syukri di depanku dan pada baris ayat yang kelima, si kecil yang tadi tersenyum telah lelap dengan nyenyak.
Aku teruskan bacaan dan ulang untuk kali ketiga. Aku tahu niat untuk membaca 3 kali yaasin ditetapkan waktu emak di dalam sakaratul maut pagi tadi, telah gagal aku laksanakan seperti yang sepatutnya. Emak, aku mohon maaf kerana gagal menyempurnakan tugas kali ini untukmu… Ampuni aku…

Bersambung…

Tiada ulasan: