kata-kata hikmah..

Pesan Luqman Hakim pada anaknya, Hai anakku, bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun, biarkanlah dia yang mengharap sesuatu darimu

Khamis, 29 Oktober 2009

rasa bersalah..


baru-baru ini, saya memandu ke tempat kerja. Tak perlu tergesa-gesa kerana dah sangat hampir dan masih belum masuk waktu kerja.. Saya bersabar mengekor sebuah motor yang terhenggut-henggut nak masuk ke simpang jalan. Tapi, entah kenapa sewaktu hampir dengan simpang di selekoh, hati sangat geram tengok seorang apek yang menaiki motor yang saya ekori sejak tadi masih lagi terhegeh-hegeh di depan saya. Oleh kerana sangat panas hati dan geram, saya terus memotong apek itu di simpang jalan menyebabkan si apek sangat marah dan memaki hamun saya. Saya memberhentikan kereta dan meminta maaf darinya.

Natijah dari hal ini menyebabkan saya sangat susah hati kerana bersikap biadab. Seharian saya sakit kepala kerana rasa menyesal dan bersalah. [Padanlah muka...!]

Saya berharap Allah Azzawajalla akan berikan kebaikan padanya.

berbalik kepada rasa bersalah, hakikatnya rasa bersalah merupakan satu peringatan sebagai nikmat yang luar biasa agar kita sentiasa beringat dan berhati-hati dalam setiap langkah yang akan diambil. Selagi rasa bersalah dapat bersarang dalam jiwa kita setiap kali kita melakukan kesalahan atau kesilapan, selagi itulah kita sentiasa diberikan ruang untuk memperbaiki diri dan kembali kepada Allah.

Atas rasa bersalah atau sesal akan disusuli dengan bertaubat sesuai dengan disebutkan di dalam mukjizat Rasulullah SAW yang ditinggalkan kepada kita sebagai berikut:-

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
"Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.
"(Diperintahkan demikian) supaya jangan seseorang (menyesal dengan) berkata: ` sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan (ugama Allah dan penganut-penganutnya)! -
"Atau berkata: ` Kalaulah Allah memberi hidayah petunjuk kepadaku, tentulah aku telah menjadi dari orang-orang yang bertaqwa ! [Az Zumar: Ayat 53-57]

Apakah yang menyebabkan rasa bersalah dapat bersarang di hati kita sebaik kita melakukan kesalahan??!
pastinya dari detik hati, kebenaran akan kesalahan yang dilakukan, teguran daripada orang yang perihatin, amarah dari pihak yang teraniaya dan banyak lagi. Ini semuanya merupakan taufik dari Allah SWT sebagai kasihnya Tuhan yang sentiasa memerhati dan sentiasa menyayangi kita.
Tidakkah kita patut berasa malu?!

Rasa bersalah membuktikan kita mempunyai rasa takut akan diazab Allah atas kesalahan atau kesilapan yang dilakukan. Bahkan, kebanyakan azab yang diturunkan Allah pada waktu akhir zaman ini tidak menunggu selepas roh dicabut atau di akhirat. Kerana itu, banyak kesukaran, bala, bencana, nasib malang seperti disaman, kemalangan, kecurian, disamun dan sebagainya datang namun ramai antara kita tidak menyedari ia berlaku berakibat dari kesalahan yang kita lakukan dan masih ingin menyalahkan takdir dan pihak ketiga atau sesiapa atau apa saja yang boleh dijadikan alasan sebagai faktor penyebab ditimpa nasib yang tidak baik.

Anas bin Malik RA berkata,”Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda bahwa Allah SWTberfirman:-
Wahai Anak Adam!
Selagi engkau merayu padaku dan mengharapkan daku, Aku ampunkan segala kesalahanmu dan Aku tidak pedulikannya lagi.
Wahai Anak Adam!
Sekiranya dosa-dosamu memenuhi langit, kemudian engkau memohon maaf kepadaKu, nescaya Aku maafkan dirimu serta Aku tidak pedulikannya lagi.
Wahai Anak Adam!
Sekiranya engkau datang kepadaKu dengan kesalahan sepadat isi bumi, kemudian engkau menemuiKu dalam keadaan tidak menyekutukan Aku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh isi bumi pula.
[Hadis Imam al-Tirmizi]

Oleh itu, usahlah berputus asa dan membiarkan rasa bersalah yang menimpa sehingga menghina diri sendiri atau sehingga tiada daya untuk meneruskan tanggungjawab yang perlu dibereskan semata-mata kerana bersedih dan berdukacita atas perkara yang telah kita lakukan. Jadikan ia sebagai kekuatan dan peringatan yang kekal di minda untuk tidak mengulanginya di masa hadapan.

wallahualam...
untuk renungan: bagaimana dengan orang yang tak dapat merasa bersalah meski jauh di sudut hati tau perkara yang diucap atau diperlakukan adalah bersalahan?!

Jumaat, 23 Oktober 2009

mak... [bhgn 5]

pak imam datang dan solat jenazah dilakukan lebih kurang jam 11:30 pagi. Ruang serambi rumah penuh sesak dengan jemaah sehingga tidak dapat memuatkan jemaah yang melebihi 40 orang. Sesekali terdengar suara Pak Imam tersekat-sekat dan terhenti-henti menahan sebak. Mungkin beliau sangat sedih kerana mak merupakan sahabat dan ajk masjid yang sama-sama berusaha untuk menjaga kepentingan orang kampung sejak puluhan tahun lamanya. Selesai solat, abang Zaman diminta untuk membacakan doa. Kami yang khusyuk juga turut menitis airmata kerana terharu dan pilu.

Ketika dalam perjalanan ke tanah perkuburan, aku bertemu Pak Tua sekeluarga yang baru tiba dari Kuala Pilah di simpang rumah kami. Mereka adalah keluarga angkat ayah dari sewaktu masih bujang lagi. Moga persaudaraan dengan mereka dan semua ahli keluarga yang bersaudara dengan mak dan ayah akan berterusan hingga anak cucu kami.. amiiin...

cukuplah setakat ini saja kisah ini. cuma, mak selamat dikebumikan setengah jam sebelum jemaah bersiap untuk ke masjid untuk solat jumaat. kira-kira jam 12:30 tengahari selesai talkin dan pulang ke haluan masing-masing.

tujuan saya menulis adalah agar dapat diambil iktibar dari segala yang tidak baik dan mengambil contoh akan segala kebaikan yang telah mak sumbangkan ketika hayatnya.

perkara terbaik yang apabila kita telah melakukan segala yang kita termampu untuk melaksanakan tanggungjawab kita di dunia ini dengan sepenuh hati dan untuk kepuasan diri sendiri, bukan disebabkan kerana inginkan pujian atau habuan dari sesiapa.

Ada sesetengah dari kita meremehkan perkara fardhu kifayah dan melepaskan tanggungjawab yang ada kepada pihak yang sudi dan sanggup memikulnya. Walhal, terlalu banyak janji ALLAH akan nikmat yang telah disediakanNYA untuk kita yang dapat kita rebutkan demi mendapatkan keredhaan dan kasihsayang dariNYA dan daripada sekelian makhluk yang mencintaiNYA..

sekian. wallahualam..

al-fatihah buat mak dan ayah...

Rabu, 21 Oktober 2009

mak... [bhgn 4]

di kala orangramai bersesak di rumah, terutama masing-masing teringin melihat mak dikapankan. sebenarnya, pagi tadi beberapa saudara dan jiran meminta aku menasihatkan kakcik agar memasang tabir menutup pandangan orangramai dari melihat mak dikapankan. tapi, menurut kakcik, elok saja biar mereka melihat bersama. moga dapat memberikan keinsafan dan peringatan kepada yang melihat bahawa kita pasti kembali kepadaNYA dalam balutan kain putih SAHAJA!!!

aku dan aza menyisir rambut mak dengan perlahan-lahan dan berhati-hati. moga tiada rambut yang gugur akibat disikat. melihat mak seakan tidur nyenyak dengan wajah tenang dan tersenyum begini membuatkan aza semakin sebak. sewaktu melihat ada yang menangis, aku tidak dapat menitiskan airmata atau memperlihatkan kesayuan.

Yana sibuk menyumbat kapas di celahan tubuh mak. maklang kami terus-terusan membebel dan mengarah bak seorang puan direktor. melihatkan yana yang tidak senang dengan kata-kata yang memedihkan, isteri imam menegur maklang agar memahami keadaan kami anak2 yang baru belajar mengurus jenazah.

selesai menyisir rambut, aku bangun menemui abang di bawah. bertanyakan beberapa soalan dan kembali semula, duduk di tempat maklang yang telah beralih ke tepi dinding. aku usap wajah mak perlahan-lahan dan kemudian membantu isteri imam dan adik beradik menyalut kain putih secara bertingkah membaluti mak sehingga cuma muka saja yang terdedah.
Sungguh berlainan wajah mak kali ini. Maksu, adik bongsu mak yang sebaya denganku yang sejak memandikan mak tadi tidak berhenti menangis, kini semakin banyak gugurkan airmata bila melihat wajah mak saling tak tumpah wajah arwah ibunya (nenek).

Isteri imam meminta kami memanggil semua orang yang ingin melihat dan mencium mak buat kali terakhir sebelum dikapankan sepenuhnya. Kakak aku meminta ditangguh dulu kerana anak sulungnya masih dalam perjalanan dari Kuantan. Melihatkan tiada yang terdaya lagi untuk bangkit, aku bangun dan mula mencari adik beradikku di celahan orang yang sangat ramai dan sedang bersesak mengurumuni jenazah mak. Setelah mendapatkan Zilah dan adik-adik ipar perempuanku, aku bergegas pula ke pintu hadapan untuk ke halaman. Di halaman rumah, kelihatan sesusuk tubuh di sebuah kerusi roda. Saling tak tumpah wajah mak, cuma kelihatan sangat berusia. Di sebelahnya, sepupu aku Abd Halim yang sedang memujuk wanita itu.

Aku turun dan bersalaman serta menciumnya dan mengajak beliau, adik mak yang mirip wajah mak yang telah lama lumpuh. Sudah berpuluh tahun dia tak menjejak kaki lagi ke rumah ini. Dulu, anak sulungnya yang sebaya aku adalah sahabat karibku yang sentiasa bersamaku dari subuh ke malam hari, sehinggalah bila kami mencecah usia 16, kami dilarang berkawan lagi. Mereka menjauhkan diri dari mak tanpa sebab. Tapi, mak tak pernah lupa untuk berziarah dan memasak makanan kegemaran adiknya yang seorang ini bila mendapati makngah telah lumpuh dan memerlukan bantuan untuk mengurus dirinya. Mak seorang wanita yang sangat cekal dan tidak pernah berdendam atau menyimpan sebarang rasa sakit hati terhadap sesiapapun yang pernah mengkhianati atau menyebabkannya dalam kesukaran.

Abd Hamid, ayahnya dan aku terus memujuk makngah untuk nak ke atas rumah dan melihat mak. Kemudian aku terus mencari seorang demi seorang ahli keluarga terutama suami dan anak-anakku untuk menemui mak buat kali terakhir.

Kembali ke serambi rumah, kami beratur kerana ruang yang agak terhad dengan saudara-mara dan jiran-jiran yang ramai amat menyukarkan pergerakan. Isteri imam sesekali menegur anggota keluarga yang memegang bahu sewaktu mencium mak agar tidak melakukan begitu kerana ia dapat menyakiti mayat. Setelah mengungkap kata-kata terakhir dan selawat sewaktu mencium mak buat kali terakhir dengan diiringi takbir dari isteri imam, aku terus duduk di sisi mak.

Tiba-tiba saja, seorang wanita separuh baya yang kurus, berjubah dan bertudung merah jingga meluru ke arah mak dan mencium muka mak sambil menangis. Memohon ampun dengan suara yang tidak teratur. Maklang yang sejak tadi telah mendiamkan diri mula bersuara. Dia menyuruh mak Yi yang sedang meraung memeluk tubuh mak agar mencium kaki mak pula. "Kau banyak dosa!! Haa... pergi cium kaki kaklong tu.. mintak ampun!!!"
MakYi bergerak pantas menuju kaki mak dan menciumnya berkali-kali. Maksu menahan aku dan meminta aku jangan melarang kakaknya dan meminta aku membiarkan saja hal itu.
Selesai mencium kaki mak, makYi terus turun ke bawah ke halaman rumah.

bersambung...

mak... [bhgn 3]

abang telah ke kubur untuk memastikan kubur siap digali pada waktunya kerana aku berkeras hendak memandikan emak dengan segera tanpa bertangguh, sementara adikku Arif masih sibuk menyiapkan usung .

tiba-tiba nenek yang sorang ni bising-bising marah-marah. aku tanya apa yang mengganggu dia. rupanya dia marah kerana seorang "datuk" yang datang berziarah tidak dipedulikan sesiapa, masih tercegat berdiri di halaman rumah. Kemudian mengarah arif mengambil kerusi dan meletakkan di tempat teduh. adikku yang sorang ini memang lurus bendul, dalam sibuk masih sempat cuba melayan kerenah nenek yang seorang ini sehingga akhirnya aku memujuk nenek itu agar dapat memahami situasi kami yang sedang sibuk.

hampir jam 10:45 pagi, adik-adik lelaki, ipar dan abangku mengangkat mak yang terbujur untuk dimandikan.
dan aku, memanggil kesemua ahli keluarga untuk memandikan mak yang diletakkan di beranda luar tangga rumah.
kulihat ramai kawan-kawan mak ingin turut serta, tapi malangnya adik dan kakak ku melarang mereka dan menutup pintu hadapan rumah agar tertutup semua pandangan yang melihat.

masyaALLAH, mak kelihatan sangat tenang dan tubuhnya mudah untuk diurus. tak ubah seperti orang yang sedang nyenyak tidur. Aza, isteri abang zaman asyik menangis sehingga aku memegang dan menarik tangannya untuk mengusap kepala mak sementara Bakhtiar menyiram air di tubuh mak. kami adik beradik yang ramai kecuali zilah, (suamiku dan suami adikku, yana kerana membantu di kuburan) memandikan mak beramai-ramai dengan penuh kasih sayang. sesekali aku tidak dapat menahan perasaan untuk tunduk dan mencium muka mak..

selesai memandikan mak, adik beradik lelaki termasuk adik-adik ipar dan suamiku mengangkat mak ke dalam rumah untuk dikapankan.
timbul pula persoalan patut atau tidak bawa mak ke masjid untuk disembahyangkan.
isteri abang sepupu, kak Nor cadangkan mak dimandikan di masjid saja sebaik solat jumaat.
tapi, ahli keluarga lain ingin mempercepatkan pengkebumian. lalu, aku turun ke halaman untuk memanggil abang zaman dan hisyam (adik bongsu yang sangat bertanggungjawab menjaga keluarga) meminta pendapat. nasihat abang zaman, tak perlu bawa ke masjid lagi kerana di halaman rumah saja sudah terlalu ramai jamaah termasuk ahli masjid. maka, abang aku bergegas menjemput imam masjid.

aku dan saudara-saudara perempuan menyusul isteri imam mengkapankan mak.
entah bila pula tibanya adik mak yang sorang ini. tiba-tiba pulak orang yang dah lama tak jejak kaki di rumah ini dah duduk di sisi mak. menjerit-jerit memanggil nama kakakku dan menyuruh kakakku duduk di kepala mak sambil marah-marah orang-orang di sekelilingnya.
aku menarik tangan aza dengan erat dan duduk di bahagian kepala mak. isteri imam yang duduk di sebelah aku menyuruh aku mengambil sikat dan menyisir rambut mak.

bersambung..

kata-kata hikmah dari Azizi Hj Abdullah


Usah ditangis pada peristiwa semalam kerana ia akan menjadi tragedi yang akan dikenang.

Tapi, usah juga dikenang tragedi semalam kerana ia akan menjadi sembilu yang menikam.

Biarlah dia menjadi penumpang malam, terus melukut bagi meraih impian di dunia yang bukan syurga...

mak... [bhgn 2]

orang dah semakin ramai berziarah... terdengar suara-suara bertingkah membaca surah yaasin..
aku bangun dari duduk dan keluar melihat tetamu yang datang.. bersalaman dan berpelukan dengan mereka sehingga aku punya kekuatan untuk mendatangi mak dan mencium wajahnya yang tenang seakan sedang bermimpi indah..

turun ke dapur dan melihat jiran-jiran keluar masuk pintu dapur.
aku berbincang dengan kakak dan adik-adikku apa yang patut kami lakukan seterusnya.
abangku datang memberitahu dia akan uruskan urusan pengkebumian dan kami kena uruskan jenazah untuk dimandi. Hal ini nampaknya menjadi hal yang paling rumit buat kami dan jiran-jiran yang ada. Siapa yang perlu dicari untuk menjadi ketua pengurus jenazah?! siapa yang tau?!
kami mula bertanya sana-sini siapa yang hendak diminta tolong.. Ini kerana biasanya di kampung kami maklah ketua pengurus jenazah dan pembantunya samasekali hanya bercakap saja tanpa tau melakukan apa-apa. Setelah berbincang, kami ambil keputusan meminta bantuan isteri imam kampung yang sering membantu mak mengurus jenazah dan juga seorang saudara perempuan yang kami tau selalu bersemangat mengikut mak bilamana ada kematian.

aku masuk kembali ke bilik dan menelefon adik di mekah. tak jadi... aku SMS sajalah kerana aku tau pasti dia sedang tidur pada waktu ini. aku kembali turun ke dapur. Kakcik, saudara perempuan yang sedang belajar mengurus jenazah tiba dan kami mula sibuk untuk menyiapkan persiapan yang perlu sebelum pengurus jenazah tiba. Maka mulalah sibuk ke sana kemari untuk mencari barang-barang yang diperlukan. Persiapan berkapan tidak menjadi masalah kerana diperoleh dari pihak masjid.

aku masuk kembali ke bilik untuk mengambil barang dan dapati terdapat 5 missed called dari adik di mekah. aku menelefon dia dan menceritakan hal yang terjadi. rupanya dia juga seperti kami yang tidak dapat melelapkan mata. aku diajar beberapa doa (selawat) yang perlu dibaca
sewaktu akan mengapan mak nanti. katanya dia akan melakukan solat ghaib di masjidilharam.
adik, sayang kamu tak sempat bertemu mak yang sangat teringin jumpa kamu...

abang zaman, anak angkat ayah masih dalam perjalanan. tadi katanya baru sampai kuala pilah. cepatlah abang.... mereka dah bising nak bukak mulut mak untuk keluarkan gigi palsu mak!!
syukurlah mereka ikut nasihat abang dan pak imam agar tidak melakukan hal itu.

Jam telah menunjuk 10:00 pagi. rumah semakin ramai dan makin sesak dengan orangramai sehingga nak berjalan pun terpaksa melangkah dan berlanggar satu sama lain. di halaman rumah sudah terlalu ramai laksana kenduri kawin pulak, cuma suasana sangat muram. kelihatan abang dan orang-orang kampung sedang menyiapkan usung. tadi pagi mereka tanyakan aku samada mau diusung ke tanah perkuburan atau guna kereta jenazah saja. Memandangkan tanah perkuburan terlalu dekat dengan rumah, aku meminta untuk diusung saja, sama seperti ayah dulu.

isteri imam telah lama sampai dan persiapan telah lama tersedia. kami adik beradik mengambil
keputusan untuk bersama-sama memandi dan mengapankan mak dengan bantuan dan tunjuk ajar isteri imam.

bersambung...

Sabtu, 10 Oktober 2009

mak... [bhgn 1]

Bismillah....
Bertugas di tempat baru, jadual harian telah lebih terurus. Pertama-tama, lebih dekat dengan kediaman. Keduanya, bangunan pejabat akan dikunci kurang dari setengah jam lepas waktu kerja tamat. Semua pekerja termasuk lembaga pengarah akan meninggalkan perkarangan pejabat pada waktu tamat bertugas sebaik jam 5 petang.

Petang semalam, seperti biasa aku memandu pulang ke rumah. Tiada lagi alasan terlalu letih atau terlalu lewat pulang untuk mengemas rumah.. Huhuhu…
Seperti biasa, selepas suami pulang sekitar jam 6:30 petang, kami ke rumah mak. Anak-anak di sianghari di dalam jagaan mak dan adik, Zilah.Tapi, kali ini mak kelihatan sangat luar biasa. Telah beberapa hari mak tak sihat. Demam dan batuk yang tidak surut. Petang semalam mak marah Arif sebab tersalah beli ubat. Mak mengeluh kata Arif sampai hati tinggalkan dia sedang sakit walhal budak tu hanya keluar ambil ubat yang tertinggal di motor saja. Kesian adikku ini, benar katanya padaku, buat apa saja asik kena marah.

Kali ini, mak hanya termenung mengadap kiblat, tidak bergerak hingga masuk lepas waktu maghrib. Kata Zilah, mak tak boleh berbaring sebab asik batuk. Tapi, kali ni dia tak batuk dan tak bergerak. Suara sangat perlahan dan sangat berbeza tidak seperti suara mak yang biasa.

Selepas solat maghrib, aku menoleh ke arah mak. Subhanallah… saat itu aku telah tau kerana dia ada di sana menunggu mak. Kemudian, sewaktu aku duduk di katil mak, mak tanya aku, “Na, ada apa-apa ke kat mak ni?”. .. jawabku, “takda la… tak da apa-apa.. mak rehat je.. mak penat tu.. mak kena banyak rehat je.. mak nak gi hospital?”
Kata mak, dah pergi klinik dengan kakakku petang tadi. Doktor kata tak ada apa-apa. Cuma demam dan batuk. Suami aku tanya kalau perlu hantar mak ke hospital, tapi mak tak nak. Pada aku, mak perlu rehat. Hanya ini saja. Tak sampai hati nak cakap apa yang telah kusaksikan, malahan tentu bersalahan untuk mengatakannya.

Mak bangun dari duduk dan berjalan sangat-sangat-sangat perlahan di depanku. Kutanya nak ke mana, katanya nak solat. Aku bagitau mak aku SMS Aza dan mintak tolong abang Zaman tengokkan mak. Mak memang sangat bergantung pada abang Zaman dalam banyak perkara meskipun dia hanya anak angkat. Baru dua hari lepas kami bawa mak ke rumah abang Zaman.

Kulihat mak membentang sejadah atas timbunan pakaian yang ingin dilipatnya petang tadi. Meletakkan telekong di atas sejadah sebelum memakai secara sangat-sangat perlahan. Berlainan sangat perlakuan mak seolah-olah dia mahu menghayati setiap perbuatannya. Aku tidak lagi sanggup melihat perlakuan mak, terus keluar rumah dan mengajak anak-anak dan suamiku pulang. Hatiku sebak. Fikiran bercelaru. Tika ini hanya zikrullah sangat membantu.

Kebiasaannya mak akan masak untuk semua orang. Cuma beberapa hari ini, mak memasak tetapi tidak mau makannya. Kerana itu pagi tadi suami belikan nasi lemak untuk mak. Nampak sangat berselera dia makan kali ini. Mungkin kerana seminggu ini kami berpuasa bersama dan kurang selera makan selepas habis hari berpuasa. Kerana aku sendiri hilang selera makan juga. Memandangkan tiada makan malam disediakan, kami ke restoran untuk makan malam. Aku bertanya suami dan anak-anakku bagaimana bila nenek telah tiada nanti. Anak-anakku pulak mula tidak mau makan. Masing-masing bermuram dan meragam.

Malah malamnya, semua orang tidak dapat melelapkan mata tanpa sebab. Semua anak-anakku datang berkumpul tidur bersamaku. Aku tetapkan alarm di telefon untuk bangun jam 3 pagi. Meski biasanya aku akan bangun sekitar waktu itu, namun aku bimbang aku tidak dapat melakukannya. Hampir-hampir aku memberitahu mak aku mau solat hajat dan bacakan surah yaasin sebanyak 3 kali malam nanti agar mak tenang dan sejahtera.

Alarm di telefon berbunyi dan malangnya aku tutup terus dan meneruskan tidur yang sangat meletihkan. Tiba-tiba aku terjaga pada jam 3:13 pagi. Aku jadi pilu dan kesal. Mengatakan pada diri mak telah tiada, apa perlu untuk bangun sekarang. Aku sambung tidur atas rasa yang sangat pilu dan terjaga semula bila telefon aku berbunyi lagi jam 5:33pagi. Mendengar suara Zilah menangis dan mengatakan mak tidak bergerak dan kaki tangannya sejuk. Aku minta adikku sabar dan aku janjikan segera datang.
Aku kejutkan suami ku dan kami terus bangunkan anak-anak mandi dan bersiap.
Selepas mandi aku telefon dan SMS semua adik beradik termasuk abang Zaman.
Sewaktu kami tiba, rumah mak telah dipenuhi ramai jiran-jiran. Aku disambut jiran yang mengucapkan kata-kata semangat dan takziah.
Di serambi rumah, depanku terkujur tubuh mak ditutup sepenuhnya dengan kain. Aku tanpa menoleh ke mana-mana, terus menuju bilik Zilah dan baring di katil kerana seluruh anggotaku sangat longlai. Aku bangun lepas beberapa minit dan mengambil surah yaasin dari dalam beg tangan dan mula membaca dengan perlahan.
Selesai membaca, adik dan kakakku masuk membawa anak Zilah yang berusia 1 bulan. Kakakku menangis dan memeluk aku dengan sangat erat. Aku hanya minta dia bersabar. Itu saja mampu aku cakapkan ketika ini. Kata Zilah, selepas solat Isyak, mak terus tidur di katilnya depan bilik Zilah. Tambah Zilah, sekitar jam 2 pagi dia bangun dan tengok mak tidur seperti biasa dan dia selimutkan mak sebelum menyambung tidur. Bakhtiar, adik lelaki kami tidur nyenyak di sebelah mak. Cuma, bila dia bangun lagi sekitar jam 5:15 pagi dia dapati mak tidak bergerak dan kaki tangannya sejuk.

Selepas beberapa waktu, aku rangkul Ahmad Syukri yang kecil dan bercakap-cakap dengannya.
Aku tanya jika aku baca yaasin lagi, maukah dia mendengar. Bayi yang kecil seakan memahami dan berbunyi, aaaaaa… ek..ek..ek… Aku letakkan Syukri di depanku dan pada baris ayat yang kelima, si kecil yang tadi tersenyum telah lelap dengan nyenyak.
Aku teruskan bacaan dan ulang untuk kali ketiga. Aku tahu niat untuk membaca 3 kali yaasin ditetapkan waktu emak di dalam sakaratul maut pagi tadi, telah gagal aku laksanakan seperti yang sepatutnya. Emak, aku mohon maaf kerana gagal menyempurnakan tugas kali ini untukmu… Ampuni aku…

Bersambung…