kata-kata hikmah..

Pesan Luqman Hakim pada anaknya, Hai anakku, bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun, biarkanlah dia yang mengharap sesuatu darimu

Rabu, 21 Oktober 2009

mak... [bhgn 4]

di kala orangramai bersesak di rumah, terutama masing-masing teringin melihat mak dikapankan. sebenarnya, pagi tadi beberapa saudara dan jiran meminta aku menasihatkan kakcik agar memasang tabir menutup pandangan orangramai dari melihat mak dikapankan. tapi, menurut kakcik, elok saja biar mereka melihat bersama. moga dapat memberikan keinsafan dan peringatan kepada yang melihat bahawa kita pasti kembali kepadaNYA dalam balutan kain putih SAHAJA!!!

aku dan aza menyisir rambut mak dengan perlahan-lahan dan berhati-hati. moga tiada rambut yang gugur akibat disikat. melihat mak seakan tidur nyenyak dengan wajah tenang dan tersenyum begini membuatkan aza semakin sebak. sewaktu melihat ada yang menangis, aku tidak dapat menitiskan airmata atau memperlihatkan kesayuan.

Yana sibuk menyumbat kapas di celahan tubuh mak. maklang kami terus-terusan membebel dan mengarah bak seorang puan direktor. melihatkan yana yang tidak senang dengan kata-kata yang memedihkan, isteri imam menegur maklang agar memahami keadaan kami anak2 yang baru belajar mengurus jenazah.

selesai menyisir rambut, aku bangun menemui abang di bawah. bertanyakan beberapa soalan dan kembali semula, duduk di tempat maklang yang telah beralih ke tepi dinding. aku usap wajah mak perlahan-lahan dan kemudian membantu isteri imam dan adik beradik menyalut kain putih secara bertingkah membaluti mak sehingga cuma muka saja yang terdedah.
Sungguh berlainan wajah mak kali ini. Maksu, adik bongsu mak yang sebaya denganku yang sejak memandikan mak tadi tidak berhenti menangis, kini semakin banyak gugurkan airmata bila melihat wajah mak saling tak tumpah wajah arwah ibunya (nenek).

Isteri imam meminta kami memanggil semua orang yang ingin melihat dan mencium mak buat kali terakhir sebelum dikapankan sepenuhnya. Kakak aku meminta ditangguh dulu kerana anak sulungnya masih dalam perjalanan dari Kuantan. Melihatkan tiada yang terdaya lagi untuk bangkit, aku bangun dan mula mencari adik beradikku di celahan orang yang sangat ramai dan sedang bersesak mengurumuni jenazah mak. Setelah mendapatkan Zilah dan adik-adik ipar perempuanku, aku bergegas pula ke pintu hadapan untuk ke halaman. Di halaman rumah, kelihatan sesusuk tubuh di sebuah kerusi roda. Saling tak tumpah wajah mak, cuma kelihatan sangat berusia. Di sebelahnya, sepupu aku Abd Halim yang sedang memujuk wanita itu.

Aku turun dan bersalaman serta menciumnya dan mengajak beliau, adik mak yang mirip wajah mak yang telah lama lumpuh. Sudah berpuluh tahun dia tak menjejak kaki lagi ke rumah ini. Dulu, anak sulungnya yang sebaya aku adalah sahabat karibku yang sentiasa bersamaku dari subuh ke malam hari, sehinggalah bila kami mencecah usia 16, kami dilarang berkawan lagi. Mereka menjauhkan diri dari mak tanpa sebab. Tapi, mak tak pernah lupa untuk berziarah dan memasak makanan kegemaran adiknya yang seorang ini bila mendapati makngah telah lumpuh dan memerlukan bantuan untuk mengurus dirinya. Mak seorang wanita yang sangat cekal dan tidak pernah berdendam atau menyimpan sebarang rasa sakit hati terhadap sesiapapun yang pernah mengkhianati atau menyebabkannya dalam kesukaran.

Abd Hamid, ayahnya dan aku terus memujuk makngah untuk nak ke atas rumah dan melihat mak. Kemudian aku terus mencari seorang demi seorang ahli keluarga terutama suami dan anak-anakku untuk menemui mak buat kali terakhir.

Kembali ke serambi rumah, kami beratur kerana ruang yang agak terhad dengan saudara-mara dan jiran-jiran yang ramai amat menyukarkan pergerakan. Isteri imam sesekali menegur anggota keluarga yang memegang bahu sewaktu mencium mak agar tidak melakukan begitu kerana ia dapat menyakiti mayat. Setelah mengungkap kata-kata terakhir dan selawat sewaktu mencium mak buat kali terakhir dengan diiringi takbir dari isteri imam, aku terus duduk di sisi mak.

Tiba-tiba saja, seorang wanita separuh baya yang kurus, berjubah dan bertudung merah jingga meluru ke arah mak dan mencium muka mak sambil menangis. Memohon ampun dengan suara yang tidak teratur. Maklang yang sejak tadi telah mendiamkan diri mula bersuara. Dia menyuruh mak Yi yang sedang meraung memeluk tubuh mak agar mencium kaki mak pula. "Kau banyak dosa!! Haa... pergi cium kaki kaklong tu.. mintak ampun!!!"
MakYi bergerak pantas menuju kaki mak dan menciumnya berkali-kali. Maksu menahan aku dan meminta aku jangan melarang kakaknya dan meminta aku membiarkan saja hal itu.
Selesai mencium kaki mak, makYi terus turun ke bawah ke halaman rumah.

bersambung...

Tiada ulasan: